Dr M: Saya letak jawatan PM bila masalah k’jaan dulu selesai

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini ditanya pada majlis Forum Doha di Qatar jika beliau akan berundur pada 2020.

Bagaimanapun, perdana menteri kelihatan silap faham soalan yang ditanya, lantas bercakap mengenai bagaimana pentadbiran BN telah menggagalkan Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020, memaksa Putrajaya untuk “menunda tarikhnya ke 2030.”

Kenyataan ini seakan merujuk Wawasan 2020 yang gagal dicapai dan digantikan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Dr Mahathir kemudian ditanya sekali lagi sekiranya beliau bermaksud negara masih tetap memerlukan kepimpinannya selepas 2030.

Menjawab pertanyaan itu, beliau yang kini berusia 94 tahun berjanji akan meletak jawatan tanpa menyebut tarikhnya.

“Saya sudah berjanji akan meletak jawatan apabila saya telah menyelesaikan masalah-masalah besar yang ditinggalkan oleh kerajaan dulu.

“Saya juga telah berjanji akan meletak jawatan dan memberikan kepimpinan kepada calon yang telah dinamakan oleh gabungan (PH),” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata dalam wawancara Reuters bahawa beliau mungkin akan menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas Sidang Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang berakhir pada November 2020.

Sementara itu, Mahathir juga ditanya jika beliau akan menyokong Anwar sebagai calon terbaik untuk menjadi perdana menteri yang akan datang.

“Saya tidak dapat menjamin apa yang akan jadi, (atau) siapa orang terbaik untuk mengambil alih, kerana saya pernah mempunyai pengalaman buruk,” jawabnya.

“(Pada masa lalu) saya telah menamakan pengganti saya dan kemudian mereka mengambil alih dan melakukan perkara yang berbeza,” katanya.

Ditanya jika beliau menyesal mengenai pasang surut hubungannya dengan Anwar, Mahathir berkata mereka telah memutuskan bahawa kepentingan negara lebih utama berbanding perasaan peribadi mereka.

“Jadi kami memutuskan untuk melupakan masa lalu dan menumpukan kepada pembangunan negara, yang lebih penting daripada perbalahan kami,” katanya.

Sumber: Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »