Dr Mahathir tegaskan tidak jumpa Azilah, nafi pembabitan kerajaan

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, beliau tidak pernah berjumpa Cif Inspektor Azilah Hadri sejak bekas pegawai polis itu dipenjarakan atas kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Perdana Menteri turut menafikan pembabitan kerajaan berhubung pendedahan mengaitkan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, dalam pembunuhan Altantuya yang dibuat Azilah menerusi Akuan Bersumpah (SD), baru-baru ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, hari ini, berkata penafian itu dibuat selepas ada cubaan untuk mengaitkan Dr Mahathir sebagai orang kenamaan (VVIP) didakwa berjumpa dengan Azilah pada Februari lalu.

“Perkara ini dilaporkan dengan meluas, hari ini, bahawa Dr Mahathir hanya tersenyum ketika ditanya sama ada pernah berjumpa Azilah. Soalan itu ditanya pada sidang media selepas pelancaran Bandar Malaysia di Putrajaya, semalam.

“Malah, ada cubaan untuk mengaitkan Dr Mahathir sebagai VVIP yang didakwa bertemu dengan Azilah yang menunggu hukuman gantung di Penjara Kajang.

“Kerajaan juga memutuskan supaya pihak berkuasa memuktamadkan tindakan sewajarnya bagi kes ini kerana ia membabitkan proses perundangan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Azilah yang sedang menunggu hukuman gantung, membuat pengakuan mengejutkan apabila mendakwa Najib mengarahkannya membunuh Altantuya pada 2006.

Dalam SD bertarikh 17 Oktober lalu, Azilah mendakwa Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri (TPM), turut mengarahkannya melupuskan mayat wanita berkenaan.

Azilah, 42, yang mengikrarkan kandungan SD itu di Penjara Kajang mendakwa arahan itu diberi secara lisan ketika bertemu Najib pada 17 Oktober 2006 di Pekan, Pahang.

Media sebelum ini juga melaporkan permohonan Azilah untuk menyemak sabitan dan hukuman gantung ke atasnya atas kesalahan membunuh Altantuya, akan didengar Mahkamah Persekutuan pada 20 April depan.

Tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Aznina Mohd Ali, ketika pengurusan kes semakan itu di Pejabat Pendaftar Istana Kehakiman, semalam.

Sumber: BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »