Jangan anggap mereka istimewa, kebal undang-undang: Tun M

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan pemimpin kerajaan supaya menunjukkan teladan baik dengan mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dr Mahathir menegaskan, bergelar pemimpin kerajaan tidak secara automatik menjadikan mereka ini istimewa sebaliknya tetap wajib patuh terhadap ketetapan undang-undang.

Dalam video berdurasi satu minit yang dimuatnaik di akaun Facebook Saya Sayang Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau menegaskan, undang-undang di negara ini tidak mendiskriminasi dan tertakluk kepada sesiapa sahaja.

“Pemimpin kerajaan patut tunjuk teladan yang baik. Mereka patut ikut peraturan yang dibuat oleh kerajaan sendiri.

“Tetapi, nampak mereka anggap diri mereka sebagai special (istimewa). Jadi, tak payah (perlu) mereka patuh terhadap arahan kerajaan.

“Di Malaysia ini, kita ikut undang-undang… Rule of law. Rules (undang-undang) tidak mendiskriminasi. Sesiapa pun mesti ikut undang-undang. Peraturan-peraturan yang diperkenalkan ini ada asas. Undang-undang ini terkena pada semua pihak,” katanya.

Beliau sekali lagi mengingatkan mereka yang bergelar pemimpin negara supaya tidak merasakan diri masing-masing seorang yang istimewa.

Tegasnya, menganggap diri sebagai seorang yang istimewa bukan tiket supaya kebal terhadap undang-undang.

“Janganlah sesiapa anggap dirinya sebagai special (istimewa) dan boleh ketepikan undang-undang dan ini tidak menjadi teladan yang baik,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »