Karier politik Tun Mahathir

Pada tahun 1964, Tun Mahathir mula berjinak-jinak dalam bidang politik di mana beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1964 dan memenangi kerusi Kota Setar. Setahun kemudian, beliau telah dipilih untuk Majlis Tertinggi UMNO. 

Pada Pilihan Raya Umum 1969, beliau sekali lagi bertanding namun ditewaskan wakil dari parti PAS, Tuan Guru Haji Yusof Rawa.

Pada 13 Mei 1969, satu rusuhan kaum telah berlaku membuatkan Tun menulis satu surat kritikan kepada Tunku Abdul Rahman yang merupakan Perdana Menteri ketika itu. Surat tersebut mengkritik pentadbiran Tunku kerana pendekatan ekonominya yang lembut dan gagal menegakkan kepentingan Melayu.

Surat tersebut membuatkan Tun Mahathir telah dipecat keahliannya dari UMNO. Ketika ini, Tun meneruskan kerjayanya sebagai seorang pegawai perubatan dan dalam masa yang sama memikirkan tentang nasib orang Melayu yang ditulisnya ke dalam buku, “Dilema Melayu”.

Buku tersebut diterbitkan di Singapura dan dilarang di Tanah Melayu.

Pada September 1970, Tun Abdul Razak Hussein telah mengambil alih tampuk kepimpinan tertinggi selepas Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Menjelang tahun 1972, Tun Mahathir memohon untuk menyertai parti UMNO semula dan diterima.

Beliau dilantik menjadi Senator pada tahun 1973 dan ahli mahkamah Universiti serta Majlis Universiti Malaya.

Pada Pilihan Raya Umum 1974, Tun Mahathir telah menang tanpa bertanding di kerusi Kubang Pasu, dan dilantik menjadi Menteri Pendidikan Malaysia membuatkan beliau tidak lagi berkhidmat sebagai pegawai perubatan.

2 tahun berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya mengambil alih jawatan Menteri Perdagangan dan Industri pada tahun 1978.

Pada tahun 1981, Tun Hussein Onn yang ketika itu merupakan Perdana Menteri ke-3 telah meletakkan jawatan atas faktor kesihatan menjadikan Tun Mahathir sebagai Presiden UMNO dan juga Perdana Menteri Malaysia yang ke-4.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »