Kisah perjuangan Dr Mahathir

KISAH perjuangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas meletak jawatan pada 2003 antara paparan menarik dalam filem berjudul Mahathir, The Journey.

Filem garapan Profesor Dr Hatta Azad Khan adalah inspirasi kisah benar perjuangan Tun Dr Mahathir selepas meletak jawatan sebagai Perdana Menteri keempat sehinggalah dilantik semula pada 2018.

Penerbit dan ketua bahagian kreatif syarikat produksi filem ini, Yusuf Kelana berkata, pihaknya melakukan kajian selama tujuh bulan untuk merealisasikan kisah perjuangan Perdana Menteri itu.

“Skrip filem ini mendapat kelulusan 100 peratus daripada Pejabat Perdana Menteri. Malah, mereka juga meneliti dialog dan semua babak untuk memastikan tiada kesilapan fakta,” katanya.

Yusuf berkata, babak bakal dipaparkan dalam filem ini adalah kejadian yang berlaku selepas Tun Dr Mahathir meletak jawatan pada 2003.

“Sebahagian babaknya pula kejadian sebenar yang tidak pernah diketahui umum,”katanya.

Berkongsi mengenai pemilihan pelakon, Yusuf berkata, sesi uji bakat mencari pelakon utama termasuk watak Tun Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah diadakan secara tertutup selama lima hari bermula 2 Oktober lalu.

“Ramai artis popular yang hadir untuk sesi uji bakat termasuk penyanyi Fauziah Latiff dan Ning Baizura. Tidak ketinggalan barisan pelakon berpengalaman antaranya Azhan Rani, Lisdawati, Dian P Ramlee dan Ridzuan Hashim.

“Filem membabitkan bajet mencecah RM6 juta ini bakal menampilkan 29 watak penting termasuk Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datin Paduka Marina Mahathir, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohamad Sabu selain ratusan pelakon tambahan,” katanya.

Ditanya mengenai proses penggambaran pula, kata Yusuf, jika semuanya berjalan lancar, ia bakal berlangsung pada pertengahan Disember depan.

“Pihak produksi kini giat membuat persiapan akhir dengan tinjauan di lokasi penggambaran sekitar Kedah, Kelantan dan dijangka ke Hiroshima, Jepun dalam tempoh terdekat ini.

“Beberapa pelakon utama akan dibawa ke Hiroshima bagi merealisasikan babak penting pada pertengahan Januari depan,” katanya.

Filem terbitan Reliance Media Group Sdn Bhd ini bukan hanya untuk ditayangkan di negara ini, tetapi juga di luar negara. Ia dijangka ditayangkan di pawagam tanah air pada Julai tahun depan.Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 5:20 AM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »