Malaysia setuju negara Islam guna satu mata wang ganti dolar AS

KUALA LUMPUR – Malaysia mengalu-alukan cadangan Iran agar menggunakan satu mata wang kripto dalam kalangan negara-negara Islam supaya tidak lagi bergantung kepada dolar Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sendiri pernah menyuarakan cadangan itu pada satu ketika dahulu dan menerima tentangan dan tindakan oleh kuasa mereka untuk menyekat Malaysia daripada menggunakan mata wang lain.

“Jadi kita dengar kali pertama Iran dan Turki berpendapat kalau tidak guna dolar, kita boleh guna mata wang sendiri atau satu mata wang sama yang boleh dicipta kalau kita bersetuju.

“Hal ini kerana menggunakan mata wang sesuatu negara memberi kekuatan pada negara itu, sebenarnya Amerika kalau hendak kira dia bankrap berhutang trilion ringgit tetapi dia tidak mahu bayar, tetapi kita masih anggap Amerika dolar itu sebagai kuat,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Sesi Meja Bulat dan Perbincangan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Presiden Iran, Hassan Rouhani supaya negara-negara Islam menggunakan satu mata wang kripto supaya tidak lagi bergantung kepada dolar Amerika.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, Malaysia bersedia menjalin kerjasama dengan Turki dan Iran mengenai penguasaan dan kepakaran kedua-dua negara itu di dalam bidang teknologi sains dan kejuruteraan.

Katanya, kedua-dua negara itu mempunyai banyak kelebihan terhadap bidang sains dan kejuruteraan sekali gus membuka minat Malaysia untuk menerokai peluang kemajuan yang dikecapi mereka.

“Iran dengan teknologi mereka, sebab itulah mereka maju ke hadapan dan kita boleh kerjasama dengan mereka. Mereka sebut tentang pendidikan hal ini kerana soal pelajaran diutamakan di negara itu. Mereka (Iran) agak moden dan agak jauh ke hadapan dan kita boleh bertukar pandangan pada masa depan,” katanya.

Kredit: Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »