PERUTUSAN HARI RAYA AIDILADHA 01-01-1981

Penyampai : DATO’ SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : PERUTUSAN HARI RAYA AIDILADHA
Lokasi : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA PADA MALAM HARI RAYA AIDILADHA
Tarikh : 01-01-1981

Saya dan isteri saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua muslimin dan muslimat di negara ini.

Alhamdulillah di hari yang mulia ini kita, umat Islam di Malaysia, dapat sekali lagi menyambut Hari Raya korban dalam keadaan aman, sempurna dan penuh kegembiraan.

Seperti biasa sebagai umat Islam yang patuh kepada Allah s.w.t. dan segala perintahnya kita akan menyempurnakan ibadah korban dengan melakukan penyembelihan seperti yang disunatkan oleh agama kita.

Korban pada zahirnya disunatkan ke atas kita yang mampu untuk membuat penyembelihan ke atas binatang seperti lembu, kambing dan sebagainya agar dagingnya dapat diagih-agihkan kepada golongan fakir dan miskin yang tidak berkemampuan.

Selain penyembelihan, ada banyak lagi pengajaran korban di dalam Islam termasuk mengeluarkan zakat ke atas harta dan pendapatan bagi yang mampu mengikut kiraan tertentu agar kekayaan itu turut dapat dimanfaatkan oleh yang miskin.

Kesanggupan berkorban harta kekayaan bagi membantu yang daif adalah kebajikan yang diseru oleh Islam. Begitulah indahnya agama Islam. Ianya mengajar kita mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t. dan berkorban untuk membantu yang miskin dan menginsafi nasib mereka yang lebih daif dengan melakukan kebajikan agar yang miskin tidak terpinggir.

Dari sini dapatlah kita mempelajari bahawa ajaran Islam memupuk satu masyarakat yang prihatin, penyayang dan saling bantu-membantu antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, warna kulit ataupun fahaman politik.

Korban juga membawa makna yang lebih daripada itu. Islam menyeru umatnya supaya sentiasa bersatu padu dan mengelakkan daripada perpecahan agar nasib umat Islam sentiasa terbela dan martabat agama Islam itu sendiri akan terus terpelihara. Kita harus mengetepikan segala kepentingan diri bagi kebaikan masyarakat kita.

Kita dapat lihat bagaimana perpecahan umat Islam di dunia hari ini telah mengakibatkan kita lemah dan mudah ditekan. Umat Islam semakin ditindas. Kebanyakan negara Islam tidak maju, mundur dan miskin, yang mana ini menyebabkan kita sukar untuk membela saudara seagama kita daripada penganiayaan musuh-musuh Islam.

Alhamdulillah di Malaysia umat Islam masih dihormati. Walaupun negara kita mempunyai kaum minoriti bukan Islam yang besar, mereka sanggup menerima pemerintahan yang diterajui oleh orang Islam berdasarkan perkongsian pentadbiran.

Kita dapat melakukan ibadah kita dalam keadaan aman dan sempurna. Inilah nikmat yang mungkin tidak dapat dirasai oleh masyarakat Islam tempat-tempat lain. Walaupun kita perlu bersimpati dan cuba menolong mereka setakat yang terdaya, kita juga tidak harus lupa untuk bersyukur kerana nikmat yang Allah S.W.T. kurniakan kepada kita.

Kita bukan sahaja bebas daripada sebarang tekanan, negara kita juga bebas daripada sebarang malapetaka dan bala bencana. Umat Islam di negara ini dihormati bukan kerana kita merupakan majoriti, tetapi kerana kita merupakan masyarakat Islam yang progresif, berdisiplin, cekap dan berpengetahuan tinggi.

Inilah nikmat yang Allah S.W.T. anugerahkan kepada kita. Oleh itu janganlah kita lupa untuk bersyukur kepadanya.

Di hari yang mulia ini, sedang jemaah Haji kita sibuk menyempurnakan ibadah rukun Islam yang kelima di tanah suci, marilah kita bersama-sama menyempurnakan tugas dan tanggungjawab kita sebagai orang Islam yang patuh kepada ajaran Allah s.w.t. dengan merapatkan barisan dan mengikat hubungan silaturahim sesama kita.

Ketepikan perbezaan fahaman politik antara kita, korbankan kepentingan diri kita, buktikan keinsafan dan kesyukuran kita dengan bersatu dan meningkatkan martabat agama kita, dan memupuk hubungan yang baik dengan rakan-rakan kita daripada keturunan dan agama yang lain.

Sekali lagi saya dan isteri saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam di Malaysia. Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah s.w.t. agar jemaah haji kita di tanah suci dapat melakukan ibadah mereka dengan sempurna dan agar mereka dikurniakan haji yang mabrur dan kembali ke tanah air dengan selamat. Semoga pengalaman mereka di tanah suci dapat kita manfaatkan untuk mempertingkatkan keimanan kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »