Sokongan rakyat masih kuat – Tun M

PAKATAN Harapan (PH) yakin sokongan rakyat masih lagi kukuh di sebalik pelbagai isu terpalit kepada pentadbiran kerajaan sejak kebelakangan ini.

Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dakwaan sokongan rakyat berkurangan tidak benar kerana hanya mengambil pandangan setengah pihak.

Menurutnya, terdapat kajian mengatakan sokongan rakyat terhadap PH menurun daripada 80 peratus kepada 38 peratus tidak merangkumi suara majoriti rakyat.

“Saya tidak tahu kajian itu dari mana. Ini kerana pendapat sebahagian kecil dianggap pendapat semua pihak, tapi kita anggap itu tidak tepat.

“Bagi PH, sokongan rakyat kepada kami masih kuat dan gabungan parti dalam PH boleh berbincang pelbagai perkara dan masalah,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Temu Rapat Ahli Parlimen PH dan Parti WARISAN di Subang, hari ini.

Turut hadir Presiden PH yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Dr Yusof Yacob.

Mengulas lanjut mengenai manifesto, Perdana Menteri berkata, secara keseluruhan 60 peratus sudah dicapai kerajaan setakat ini.

Katanya, ada setengah manifesto sukar dicapai seperti pemansuhan tol di seluruh negara, namun ada di antara janji sudah ditunaikan sepenuhnya.

“Ada setengah (manifesto) sudah 100 peratus dicapai tapi yang lain peratusan (pencapaian) masih rendah,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, Temu Rapat yang dihadiri 130 Ahli Parlimen itu adalah platform untuk kerajaan memberi penerangan lebih jelas kepada wakil rakyat mengenai dasar kerajaan termasuk Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang baru dilancarkan.

Katanya, ini penting untuk Ahli Parlimen dan wakil rakyat memberi penerangan jelas kepada rakyat mengenai apa juga isu berbangkit terhadap kerajaan.

“Temu Rapat ini juga untuk eratkan hubungan antara pemimpin kerajaan dan wakil rakyat selain dapat menjelaskan pelbagai isu dan kritik keputusan yang dibuat,” katanya.

Sumber: HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »